Tuan Muqabalah telah menerbitkan beberapa esei yang sangat baik di mana saya perturunkan beberapa mutiara kata beliau untuk perkongsian:
Beza Political Activist dan Politician:
Political activist adalah individu yang berminat untuk melihat perubahan (ke arah kebaikan) berlaku di dalam masyarakat , sementara politician adalah individu yang berminat untuk mendapatkan kuasa politik (semada untuk dirinya atau kelompoknya). Kedua kelompok ini mungkin berkongsi (over-lapped) di beberapa aktiviti dan pandangan, dalam hal-hal yang lain (terutama tentang kepentingan dan matlamat memegang kuasa serta keutamaan dari segi nilai dan faham) mereka berbeza jauh.
Tentang aqidah politik:
..gambaran dalam masyarakat yang politik itu mempunyai huraian aqidahnya yang tersendiri. Antaranya huraian aqidah sunni, athari, shi’ah, muktazilah(rasionalis yang melampau) tidak lagi dianggap pokok-pokok fahaman yang perlu digarap, dilurusi dan diselaraskan, tetapi memberi sokongan kepada mana-mana parti politik itu yang dianggap memperjuangkan sesuatu cita-cita politik itulah syarat terasas untuk dapat berkongsi apa yang dianggap perkara aqidah. Seakan-akan duduk dalam sebuah organisasi parti yang sama itu bererti berkongsi aqidah yang sama, atau lebih dahsyatnya rosaklah aqidah seseorang sekiranya tidak bersama menyokong parti-parti tertentu..
Pandangan Ikhwanul Muslimin terhadap da’wah dan politik
Ikhwan al-Muslimin telah menjelaskan dengan terperinci pada website Ikhwan on-line yang parti tajaan mereka bukanlah parti agama, tetapi ‘civil party’, dengan maksud dalam skop politik ianya mendukung butiran perlembagaan nasional dan tidak mengaitkan hukum-hukum agama dalam meraih sokongan. Mereka mengakui parti mereka berinspirasikan ajaran Islam dan budaya rakyat Masir. Keanggotaannya terbuka kepada golongan muslim dan bukan muslim. Cita-cita mereka untuk mendirikan agama dalam masyarakat akan diteruskan dalam kerja-kerja dakwah mereka di atas platform Ikhwan al-Muslimin, dan bukannya platform parti politik mereka. Mereka membuat garis pemisah antara kegiatan dan matlamat parti mereka yang dihadkan oleh butiran perlembagaan dan peraturan negara daripada kerja-kerja dakwah yang tidak mempunyai sempadan.
Tentang pesta Aidil Fitri:
Kadang-kadang kita bimbang suasana kita menyambut hari yang begitu meriah sehingga ianya seakan-akan bertentangan dengan semangat Ramadan. Dua tiga hari di awal Syawal seakan-akan berperanan untuk menghapuskan kesan-kesan sebulan latihan intensif dalam Bulan Ramadan. Aduhai malangnya kita!
Kita bukan setakat tidak lagi bersembahyang terawih dan tahajjud selepas Ramadan, bahkan kita bimbang yang kita mulai meninggalkan sembahyang berjamaah.
Menjelaskan keutamaan pengislahan diri dengan memetik kata-kata Hassan Al-Banna (entri yang sangat baik untuk dihadam keseluruhannya – klik)
apabila jiwa manusia itu baik, maka baiklah pula pandangan mereka terhadap sistem yang ada. Apabila jiwa manusia itu fasad, maka fasadlah pandangannnya kepada sistem yang ada hatta walaupun nizam yang ada itu baik pada zatnya.(secara intrinsic-nya baik).
Sesungguhnya seorang qadi yang adil, wahai saudara, mungkin di depannya undang-undang yang zalim, bagaimanapun jiwanya yang baik dan keikhlasannya kepada keadilan serta kecintaannya kepada keadilan akan membawanya untuk mengeluarkan dari butiran dari undang-undang yang zalim itu hukuman yang adil.. Mungkin kita temui seorang qadi yang fasad jiwanya, yang mengikut hawa nafsunya di depan undang-undang yang adil, tetapi kefasadan jiwanya membawanya untuk mengeluarkan dari butiran undang-undang yang adil itu hukuman yang zalim yang sesuai dengan nafsunya.
Kritik Kemaraan gelombang PR
Kalaulah PR kelihatan akan terus mara ke hadapan, sebenarnya itu hanyalah persepsi kita sahaja. Sukar untuk PR bergerak ke depan, tetapi yang menyebabkan kita berilusi yang PR mara kehadapan adalah disebabkan BN yang mundur ke belakang, seolah-olah kita dalam pengalaman apabila dua gerabak keretapi berselisih, sebuah keretapi undur sementara yang satu lagi berhenti. Penumpang-penumpang yang berada di atas gerabak yang berhenti diam itu merasakan yang gerabaknya telah bergerak ke hadapan.
Perumpamaan golongan yang kononnya membawa tajdid:
Mereka berusaha untuk meremehkan golongan ulama dengan mendatangkan sesuatu perbincangan yang terpencil dalam kitab yang tertentu (bukanpun rujukan utama dalam mazhab) dan dijadikan seolah-olah ianya adalah isi utama kitab-kitab feqah mazhab. Lalu diserang perkara itu seolah-olah itulah musuh yang besar dan sangat mengancam. Umpama Don Quixote yang berkhayal dan membayangkan yang bangunan kincir angin itu adalah raksasa besar serta ganas dan dia terus menyerangnya bertubi-tubi dan lembingnya! Masyarakat kita juga punya Don Quixote, dan seperti Don Quixote dia juga ada pengikut yang setia. Don Quixote menunggang kuda, dan yang ini mungkin ada bahtera!
Nak lagi? Sila ziarah http://muqabalah2009.blogspot.com