Selamat pun pulang ke Chicago dari MSACZ bertempat di Cleveland, OH. Dalam MSACZ yang ketiga pernah saya hadir ini, saya tampil sebagai penjual buku. Dua minggu akan datang, akan ke Atlanta pula untuk MSAEZ.
Jumlah peserta amat sedikit, 250 sahaja. Saya ingat sebelum ini di Milwaukee dan Dearborn, jumlah peserta lebih 500. Tapi alhamdulillah jualan buku tidak mengecewakan. Dapat juga sedikit net profit.
Ketika kawasan bazaar kekosongan, sempat juga saya masuk curi dengar kebanyakan sesi utama yang berlangsung. Kesemua penceramah ada kelebihan masing-masing. Saya terkesan dengan beberapa pesanan Sh Ninowy, seorang ulama hadith dan tasawwuf yang namanya semakin naik akhir-akhir ini. Beliau mengingatkan kami sebagai penuntut ilmu bahawa tanda seseorang itu semakin tambah ilmunya ialah dia semakin merendah diri.
Dr Omar Klobo mengulas tema conference tentang syurga. Bagi golongan tertindas seperti di Palestin, mereka perlu diingatkan dengan syurga sebagai pengukuh keimanan dan kesabaran derita neraka di dunia. Tapi bagi kita di Amerika, kita menikmati syurga dunia yang aman, selamat dan maju. Oleh itu kita perlu diingatkan akan azab neraka Jahannam jika kita mengkufuri nikmat yang ada. Seperkara lagi ialah persoalan ‘Urf. Apakah boleh kita beri alasan ‘urf dalam dunia global di mana adat tempatan dipadam oleh kuasa budaya yang dominan?
Saudara AR Murphy dan Sh Nasir Jangda mengupas topik cinta. Pesan AR, kita jangan sekali-kali melakukannya dengan cara yang haram, takut kelak tertutup pintu yang halal untuk menikmatinya. Sh Jangda menyebutkan bahawa kriteria terpenting untuk cari pasangan ialah keperibadian, dan termasuk dalam keperibadian itu ialah agamanya sebagai penentu. Sebagai imam masjid besar di Dallas, beliau lihat punca masal ah pasangan setiap kali ialah keperibadian yang tak serasi.
Saudara Wasim, guru tajweed di Bayyinah, membacakan ayat Quran tentang peristiwa Iblis enggan sujud pada Adam kerana beranggapan dia yang diperbuat dari api itu lebih tinggi darjatnya dari Adam AS (tanah). Ini menunjukkan teknik nombor 1 Iblis ialah merasionalkan perbuatan kufur. Subhanallah, sebelum Sr Wasim membaca ayat ini, hati saya bertanya pada Allah untuk berikan saya jawapan kenapa seorang guru saya tak malu berdusta depan saya. Dan itulah jawapan yang saya dapat.
Ketika di meja buku, seorang berbual dengan seorang pelanggan yang datang dari Vandy. Beliau tanya saya ni orang melayu kah, kerana di Vandy beliau kenal ramai orang Melayu. Beliau terus bertanya lagi, kenal tak Anas dan Azreena. Saya tentulah kenal, “Anas itu idola saya. Apa yang dia lakukan 3 tahun dahulu masih belum mampu saya lakukan hingga sekarang.” Jawab beliau, “Oh memang, mereka berdua itu lagenda MSAV!”
Saya senaraikan 5 buku terlaris:
1. Quranic Language Made Easy
2. Terjemahan Quran oleh M.A.S. Abdel Haleem
3. Stories of the Prophet by Ibn Kathir
4. Women Around the Messenger
5. The Sealed Nectar
Lain-lain buku laris ialah The Creed of Al-Tahawi (terj. Hamza Yusuf), Fortress of the Muslim (Hisnul Muslim), Invocations and Supplications (Al-Ghazali), Radical Reform (Tariq Ramadan) dan Muhammad: Man and Prophet (Adil Salahi).
Sekian dahulu. Mungkin bersambung, mungkin tidak.